Tuesday, August 24, 2010

Adakah Virus Herpes Akan Kekal Sepanjang Hayat

Persoalan:

SAYA ingin tahu mengenai penyakit herpes. Selain jangkitannya menerusi persetubuhan, apa punca lain seseorang mendapat jangkitan penyakit berkenaan?

Maksudnya, jika pasangan yang sudah berkahwin tidak pernah menghidap penyakit ini sebelumnya, tetapi mengalaminya setelah bersetubuh, walhal sebelum itu kedua-duanya tidak pernah mengadakan persetubuhan dengan orang lain, bagaimana penyakit ini boleh dijangkiti?

Harap doktor dapat memberi penjelasan terperinci.


Penjelasan:


SEBELUM saya menjawab soalan anda dengan lebih lanjut, anda perlu faham bahawa terdapat beberapa jenis penyakit herpes.


Selain itu, seseorang itu perlu dipastikan sama ada dia benar-benar mengalami jangkitan herpes, lebih-lebih lagi sekiranya ia herpes yang berkait dengan jangkitan kelamin. Ini kerana ia boleh membawa implikasi tuduh-menuduh dan kesan negatif terhadap hubungan atau kepercayaan pasangan.

Di samping itu, terdapat kesan atau ciri-ciri penyakit yang menyerupai herpes kelamin, tetapi apabila dijalankan ujian lanjutan atau pengesahan, ia bukannya begitu.

Herpes disebabkan oleh sekelompok virus. Terdapat beberapa jenis virus dalam kelompok herpes, antaranya adalah jenis virus herpes simplex jenis 1 (HSV type 1), virus herpes simplex jenis 2 (HSV type 2), virus herpes zoster (VZV) iaitu virus penyebab penyakit campak dan kayap, virus cytomegalo (CMV) dan virus Epstein-Barr (EBV) .

Herpes yang membabitkan kawasan kemaluan dinamakan herpes genital dan disebabkan oleh virus herpes simplex sama ada HSV jenis 1 atau HSV jenis 2.
Ia lazimnya dijangkiti melalui hubungan seks sama ada jenis oral-vaginal, oral-zakar, penis-vaginal atau di luar tabii (anal). Ini termasuk jika menggunakan alat bantuan seks secara berkongsi.

Walaupun HSV jenis 2 yang lebih kerap menjadi penyebab penyakit herpes genital, virus HSV jenis 1 juga mungkin menyebabkan penyakit di kawasan yang sama.

Sekiranya pasangan sudah dijangkiti virus HSV (melalui sentuhan pada rekahan kulit-ke-kulit atau kulit-ke-membran mukosa genital dan mulut), mana-mana jenis hubungan di atas boleh menjadi punca dia menjangkiti genital pasangannya, bergantung kepada kawasan sentuhan berlaku, lazimnya kawasan genital, muka atau tangan.

Herpes genital boleh menyebabkan simptom seperti biji berair pada kawasan kemaluan yang kemudiannya pecah dan menyebabkan ulser pedih.

Namun sebenarnya ramai yang mendapat jangkitan herpes tanpa mengalami apa-apa simptom dan menjangkiti orang lain tanpa disedari.


Ia jarang menyebabkan kesan serius kepada orang dewasa contohnya kerosakan hati.

Apabila masuk, virus HSV ini akan kekal di dalam tubuh untuk selama hayat secara pasif atau dorman di ganglion saraf berhampiran (bukannya di dalam aliran darah) dan boleh aktif semula dan menyebabkan rasa sakit atau pedih. Ia juga boleh menimbulkan ruam pada kawasan kulit yang dibekalkan deria oleh saraf itu.

Ujian darah serologi boleh menunjukkan kehadiran antibodi (imuno-globulin G) dalam nilai tertentu sama ada terhadap HSV jenis 1 atau HSV jenis 2. Ujian mengesat menggunakan kapas (swab) ke atas cecair atau ulser terbabit pula boleh diuji untuk kehadiran virus itu sendiri secara kultur atau teknik PCR tetapi ia jauh lebih mahal.

Kesimpulannya:



Herpes genital disebabkan oleh satu daripada kelompok virus herpes iaitu HSV.


Herpes genital lebih lazim disebabkan oleh HSV jenis 2, tetapi ia juga boleh disebabkan oleh HSV jenis 1.


Membran mukosa bahagian genital seseorang itu boleh dijangkiti HSV berkenaan melalui sentuhan oleh bahagian pasangannya yang mengandungi virus itu sama ada pada mulut, tangan atau kemaluannya.

Setelah dijangkiti, seseorang itu tidak boleh menjangkiti semula virus HSV jenis itu kepada pasangannya, kecuali jika ia daripada jenis HSV yang lagi satu (terdapat jenis HSV 1 atau 2).


Sekiranya pasangannya itu mempunyai penyakit herpes pada bahagian genitalnya juga, berkemungkinan herpes genital yang dialami pasangannya itu disebabkan oleh sentuhan pada genitalnya oleh orang lain yang lazimnya melalui hubungan seksual sama ada dari bahagian oral, zakar, vagina, dubur atau rekahan kulit yang sedang aktif dijangkiti.


Ramai yang mempunyai antibodi herpes simplex tanpa menyedari pernah mengalami apa-apa simptom jangkitan dahulunya kerana jangkitan HSV boleh berlaku tanpa mengakibatkan apa-apa simptom.

Sekiranya benar jangkitan herpes genital terbabit berpunca daripada hubungan seksual pasangan dengan orang lain, eloklah jika kedua-dua pasangan ini menjalani ujian lain yang juga berkait dengan penyakit jangkitan seksual seperti VDRL, Chlamydia, gonorea, HIV dan seumpamanya.

Eloklah kita mengamalkan hubungan seks dengan seorang pasangan saja, sentiasa menjaga kebersihan anggota yang kerap bersentuhan seperti tangan atau muka, menjalani ujian berkaitan yang diperlukan dan mendapatkan rawatan sekiranya ia berlaku.

Satu lagi fakta penting adalah memandangkan herpes genital pada wanita hamil (lebih kepada herpes aktif dalam trimester ketiga kehamilannya) boleh menyebabkan kesan serius kepada bayi yang akan dilahirkannya (jangkitan berlaku sewaktu kelahiran), wanita hamil yang mengalami jangkitan herpes genital pertama kali waktu itu (menghampiri kelahiran) lazimnya dinasihatkan bersalin secara pembedahan Caesarean.

Sumber Rujukan:
Dr. Adilah Ahmat (Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan)

Monday, August 23, 2010

Tujuh Bulan Tidak Datang Haid

Soalan:

SAYA berusia 38 tahun dan berkahwin selama dua tahun, belum mempunyai anak. Berat badan saya ialah 67 kilogram dan ketinggian 163 sentimeter.

Saya mempunyai masalah pusingan haid tidak teratur sejak saya mula datang haid pada usia 15 tahun. Masalahnya, saya tidak datang haid sejak Januari 2010 sehingga sekarang (kira-kira tujuh bulan) dan saya juga tidak hamil. Adakah masalah ini menjejaskan peluang saya untuk mendapat zuriat? Saya pernah mendapatkan rawatan dan disahkan tiada sebarang masalah peranakan. Adakah saya juga dikategorikan sudah putus haid? Apakah rawatan atau ubat yang boleh mengembalikan kesuburan dan seterusnya memberi peluang kepada saya untuk mendapatkan zuriat?

Jawapan:


ANDA mempunyai empat faktor utama berkaitan kesuburan. Pertama, usia iaitu mulai usia 28 tahun, kadar kesuburan seseorang wanita mula menurun.


Kedua, tempoh melebihi dua tahun. Ketiga, berat badan iaitu pada ketinggian anda, mempunyai berat badan sedemikian dikategorikan sebagai berlebihan, ini menurunkan peluang kesuburan.


Keempat, kitaran haid yang tidak teratur iaitu jarang-jarang, berkemungkinan ia mempunyai kaitan dengan pengeluaran telur dari ovari (ovulasi).


Saya kurang jelas mengenai jenis rawatan yang anda jalani serta bagaimana anda disahkan tidak mempunyai sebarang masalah peranakan. Pemeriksaan fizikal dan ultrabunyi pelvis transvaginal dapat membantu mengesan masalah berkaitan rahim dan kedua-dua ovari, ujian sinaran-x (HSG) dapat menilai ruang dalaman rahim dan tiub fallopio manakala pembedahan laparoskopi diagnostik dapat menilai keadaan tiub fallopio dan ruang dalaman pelvis secara lebih menyeluruh. Ujian darah berkaitan pula dapat mengesan keabnormalan hormon tertentu.


Memandangkan kini anda sudah tujuh bulan berturut-turut tidak didatangi haid, eloklah berjumpa pakar sakit puan berhampiran untuk pemeriksaan fizikal ultrabunyi transvaginal dan ujian darah tertentu. Bergantung kepada penilaian terhadap lapisan dalaman rahim (endometrium) ubat mengandungi hormon lazimnya diberikan untuk 'menurunkan' haid buat sementara waktu mendapatkan hasil keputusan darah dan membuat pengesahan mengenai punca masalah anda. Pertanyaan lanjut mengenai pengambilan ubat-ubatan serta "produk makanan kesihatan" tertentu juga perlu diberi perhatian kerana kemungkinan ia mengandungi bahan yang mengubah paras hormon kewanitaan anda.


Jika hanya mengikut istilah tempoh putus haid, bagi diri anda, ia masih belum berlaku lagi. Ujian darah dapat membantu membuktikan keadaan ini. Kadangkala, paras hormon menopaus boleh meningkat tinggi akibat pengambilan bahan tertentu, mujurlah ia bersifat sementara saja dan beransur normal setelah seseorang menghentikannya. Eloklah juga suami anda menjalani ujian air mani, terutama jika dia merokok dan belum pernah mempunyai anak kecil. Merokok boleh menurunkan bilangan sperma serta menjadikan sperma lemah atau tidak aktif pergerakannya.

Sumber Rujukan:
Dr. Adilah Ahmat (Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan)

Waktu Haid / Period Yang Agak Panjang

Soalan:

SAYA berumur 23 tahun dan mempunyai berat 40 kilogram (kg) dengan ketinggian 150 sentimeter.

Saya mengalami masalah haid yang panjang antara sebulan sehingga melebihi dua bulan yang berlaku sejak tiga tahun lalu. Apabila berjumpa doktor, mereka mengatakan semua normal. Mereka hanya memberi ubat dan haid yang panjang itu akan berhenti. Tetapi ia kembali normal untuk sebulan dua saja, kemudian ia berulang. Adakah keadaan ini berpunca daripada berat badan saya? Apakah nama penyakit ini dan adakah ia berbahaya? Adakah ini juga akan menyukarkan saya mendapat zuriat bila berkahwin kelak?

Jawapan:

DENGAN ketinggian anda, mempunyai berat 40kg dikategorikan sebagai kekurangan berat. Berat badan ideal bagi anda adalah antara 43kg hingga 56kg. Penurunan berat badan boleh mengganggu aturan ovulasi yang kemudiannya mengganggu kitaran haid. Eloklah anda berjumpa doktor pakar sakit puan. Pemberian ubat untuk menjadikan haid teratur lazimnya mengandungi bahan hormon kewanitaan sama ada progestin saja ataupun progestin bercampur estrogen, jika gangguan haid terbabit disebabkan kekurangan hormon itu dalam tubuh seseorang. Bagaimanapun, punca seseorang kekurangan hormon terbabit perlu diperiksa. Jika tidak, anda mungkin terpaksa bergantung kepada pengambilan hormon itu saja. Saya tidak dapat memberi komen mengenai nama penyakit anda dan perkara lanjutan lain. Setelah anda menjalani pemeriksaan fizikal, ultrabunyi dan ujian darah berkaitan, mungkin doktor dapat memberikan jawapan.

Sumber Rujukan:
Dr. Adilah Ahmat (Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan)

Puasa Tidak Memudaratkan Kandungan

Soalan:
Bolehkah doktor memberi panduan sama ada saya selamat untuk berpuasa? Saya tidak mempunyai sebarang masalah, tetapi bimbang jika berpuasa boleh mendatang­kan mudarat kepada bayi
saya.

Jawapan:

NALURI ibu bapa menginginkan yang terbaik buat anaknya bermula dari saat kehamilan lagi. Kebimbangan terhadap kesan berpuasa ke atas janin sering menjadi persoalan apabila tiba Ramadan, lebih-lebih lagi tanpa didatangi haid seperti sebelumnya, kini mereka berpuasa sebulan penuh.

Berikut adalah beberapa fakta yang perlu difahami:


● Kita sebenarnya juga 'berpuasa' sewaktu tidur setiap malam, cuma tempoh tidur mungkin tidak selama tempoh berpuasa Ramadan.

Waktu makan pada siang hari boleh diganti dengan waktu makan pada malam hari iaitu berbuka, selepas solat Maghrib, waktu sahur dan mengambil minuman berkalori sebelum tidur.

● Negara kita tidak mengalami musim panas yang panjang pada siang hari. Tempoh berpuasa di Malaysia adalah di bawah 14 jam.

Kajian sains menunjukkan kelaparan melebihi 14 hingga 16 jam mendedahkan kita kepada perubahan metabolisma keto-asidosis yang boleh memudaratkan kesihatan.

Eloklah mengamalkan bersahur lewat dan segera berbuka apabila masuk waktunya. Di samping itu, ibu hamil juga perlu berbuka puasa jika mengalami tanda bahaya dan segera berbuka walaupun waktu Maghrib tinggal beberapa minit sahaja lagi.

Selain itu, memahami perubahan 'normal' yang berlaku dalam kehamilan meyakinkan seseorang untuk meneruskan berpuasa, tetapi dengan mengambil langkah berkaitan. Secara amnya, perubahan yang berlaku dalam kehamilan boleh dibahagikan kepada tiga fasa atau trimester.

Trimester pertama (bulan pertama hingga ketiga) adalah tempoh lazim berlaku 'morning sickness' seperti loya, muntah, pening kepala atau pedih ulu hati.

Kehilangan cecair badan daripada muntah kadangkala tidak cukup diganti dengan makan dan minum bagi wanita yang terganggu seleranya, hingga mereka berasa tidak bermaya walaupun baru saja beberapa jam berpuasa.


Tambahan pula, bau daripada pil suplemen asid folik dan zat besi turut menambah loya terbabit. Anda dijangka sudah melepasi fasa ini kerana 'morning sickness' jarang berterusan menjangkaui bulan keempat kehamilan.

Trimester kedua (bulan keempat, kelima dan keenam kehamilan) seperti yang anda alami sekarang adalah tempoh yang paling selesa. Selera makan kembali normal, malah mungkin bertambah.

Keseronokan menjadi ibu hamil yang kandungannya kini semakin jelas dilihat juga mempengaruhi psikologi anda menjadi positif untuk berpuasa tanpa gangguan.

Namun anda perlu berhati-hati kerana terdapat satu perubahan fisiologi kehamilan yang boleh mendatangkan kesan mudarat jika tidak dijaga.

Dalam trimester kedua, tekanan darah dijangka menjadi lebih rendah berbanding biasa, sehinggakan anda mudah berasa seperti hendak pitam jika berdiri terlalu lama, lebih-lebih lagi jika mengalami dehidrasi.

Elakkan perubahan posisi yang mendadak apabila hendak bangun.

Seeloknya daripada berbaring, anda duduk sebentar dahulu, kemudian bangun perlahan-lahan sebelum mula melangkah.

Selain itu, meminum air yang mencukupi sangat penting bagi menjaga hidrasi badan.

Anda juga eloklah mengurangkan aktiviti yang tidak penting untuk menyimpan tenaga serta mengelakkan dehidrasi dan kekurangan gula dalam darah misalnya berjalan-jalan membeli-belah di tengah panas.

Apabila anda memasuki trimester ketiga kelak (bulan ketujuh hingga kelahiran), anda mungkin semakin mudah penat kerana pengaruh saiz kandungan yang semakin membesar yang turut mengganggu pergerakan anda.

Anda mungkin akan mudah berasa mengah, sakit pada bahagian ari-ari, pedih ulu hati, sembelit, ketegangan akibat kontraksi Braxton Hicks boleh menjadikan anda tidak selesa dan mudah keletihan.

Ramai ibu hamil yang bekerja berpuasa hingga memasuki minggu kelahiran tanpa masalah bahaya kerana kebanyakan tugas tidak memerlukan aktiviti fizikal yang banyak.

Namun, ini mungkin tidak sama untuk setiap individu dan ada yang mungkin perlu mengambil rehat.

Penjagaan am yang lain juga perlu diberi perhatian.

Memakai pakaian yang selesa dan tidak ketat, tidak memakai kasut bertumit tinggi serta berhati-hati sewaktu berjalan (agar tidak mudah jatuh) serta berhati-hati sewaktu berkenderaan di jalan raya (kemalangan lebih kerap berlaku), semuanya dapat membantu kita menghadapi kehamilan dengan jayanya.

Sumber Rujukan:
DR. Adilah Ahmat (Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan)

Rasa Sakit Waktu Bersama

Soalan

SAYA hamil anak pertama dan kandungan saya hampir memasuki tujuh bulan.
Ketika kandungan semakin membesar, saya mempunyai masalah ketika melakukan hubungan intim bersama suami.

Kemaluan saya berasa sakit ketika kami bersama.

Seolah-olah faraj saya menjadi sempit dan zakar suami saya sukar masuk ke dalam lubang faraj sehingga habis.

Apabila ditolak masuk lebih ke dalam, saya berasa lebih sakit. Apakah punca masalah ini?

Saya bimbang suami saya berkecil hati.

Apakah ia akan menjadi normal selepas saya bersalin kelak? Buat masa ini saya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan atau kandungan.


Jawapan:


ANDA mungkin mengalami masalah rangsangan seksual yang mungkin dipengaruhi oleh kebimbangan anda terhadap kesan ke atas kandungan.

Sewaktu kehamilan, paras hormon estrogen semakin meninggi menyebabkan dinding faraj menjadi semakin anjal dan terasa seperti sempit.

Ini jauh berbeza dengan sewaktu kita mengalami menopaus kelak di mana dinding faraj menjadi nipis dan licin akibat kekurangan hormon estrogen.

Bagaimanapun, wanita hamil lazimnya tidak menghadapi masalah hubungan seks kerana terdapat cecair pelincir daripada kedua-dua kelenjar Bartholin yang terdapat berhampiran corong faraj pada kawasan bukaannya yang keluar apabila wanita itu mengalami rangsangan seksual.

Ini turut dibantu oleh penghasilan lendir daripada dalaman serviks.

Tanpa rangsangan seksual, cecair pelincir ini tidak dikeluarkan dan penetrasi zakar boleh menyebabkan sakit, kitaran ini akan menyebabkan seseorang wanita itu semakin hilang rangsangan seksualnya dan cecair tidak dikeluarkan.

Hubungan seks sewajar­nya dinikmati oleh kedua-dua pihak.


Eloklah berkongsi masalah dengan suami agar dia lebih memahami dan meluangkan lebih masa untuk menjadikan anda lebih bersedia atau terangsang sebelum memulakan penetrasi zakar.

Untuk sementara waktu, anda mungkin boleh menggunakan bahan gel pelincir sebagai bantuan.

Anda juga perlu faham, setelah kemuncak, kesakitan juga boleh disebab­kan oleh pengecutan rahim akibat kesan bahan prostaglandin yang terkandung dalam air mani dan pengecutan rahim akibat orgasma wanita itu sendiri.

Usah bimbang, lazimnya pengecutan ini tidak membahayakan kandungan.


Sumber Rujukan:
Dr Adilah Ahmat (Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan)