Monday, September 6, 2010

Senggugut Tidak Semestinya Tidak Subur

Soalan:

ADAKAH benar jika seseorang yang mengalami senggugut dan mengambil ubat senggugut setiap bulan berisiko untuk sukar mendapat anak apabila berkahwin kelak?



Jawapan:


SAYA kurang jelas dengan makna soalan anda. Adakah anda bermaksud senggugut peringkat teruk (sehingga perlu mengambil ubat) berisiko sukar hamil ataupun adakah anda maksudkan ubat senggugut jika diambil boleh menyebabkan sukar hamil?

Bagaimanapun, penerangan am di bawah dapat dijadikan panduan.

Senggugut sering dikaitkan dengan masalah kesuburan, namun sebenarnya ia tidak semestinya begitu. Terdapat satu penyakit (endometriosis) yang sering dikaitkan dengan senggugut, ia juga tidak semestinya begitu.




Endometriosis tidak semestinya berkait dengan masalah kesuburan. Terdapat wanita yang mengalami endometriosis teruk tetapi tidak mempunyai masalah kesuburan malah melahirkan ramai zuriat.

Malah ada wanita yang dikesan mempunyai endometriosis hanya sewaktu pembedahan melahirkan anak.


Bagaimanapun, kajian mendapati wanita yang mengalami endometriosis peringkat teruk lebih mengalami kesukaran hamil, namun seperti yang dinyatakan di atas ia tidak semestinya begitu.

Bagi endometriosis peringkat sederhana dan peringkat ringan, tiada kaitan antara endometriosis dengan kesukaran hamil.


Endometriosis boleh menyebabkan senggugut, namun ia tidak semestinya begitu. Ada wanita yang mempunyai endometriosis tetapi tiada senggugut. Sebaliknya ada wanita yang tidak mengalami senggugut, tetapi didapati mempunyai endometriosis.


Jika adapun, tahap keterukan senggugut tiada kaitan langsung dengan tahap keterukan endometriosis. Ada wanita yang tiada atau hanya mengalami sedikit senggugut tetapi didapati mempunyai endometriosis peringkat teruk. Begitu juga sebaliknya.


Tahap keterukan endometriosis bukanlah ditentukan oleh simptom (contohnya keterukan senggugut atau sakit pelvis), pemeriksaan fizikal atau ujian ultrabunyi, tetapi hanya dapat dibuat secara lengkap melalui penilaian secara langsung (iaitu pembedahan) ke atas keseluruhan organ yang terbabit.


Senggugut juga boleh disebabkan oleh penyakit lain, tidak semestinya endometriosis saja.

Sumber Rujukan:
Dr Adilah Ahmat (Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan)

Masalah Isteri Jangkiti Suami

Soalan:

SAYA berumur 27 tahun, berkerjaya dan mempunyai seorang anak lelaki berumur empat tahun.

Saya isteri kedua dan tidak pernah mengambil pil perancang, malah berharap agar mendapat anak seramai yang boleh. Saya juga tidak pernah menjalani pemeriksaan 'pap smear.' Masalahnya, ketika mengadakan hubungan kelamin, keluar darah berbau segar, bukan berketul. Ia bermula pada akhir tahun lalu iaitu sekali pada Mac, Jun dan sekali lagi, baru-baru ini.


Apabila pendarahan berlaku, tiada rasa pedih dan ia berlarutan selama tiga hari secara sedikit-sedikit. Pada mulanya, saya hanya mengandaikan ia darah kotor kerana uzur saya tidak tetap sejak bersalin serta hanya tiga hari, malah tidak banyak dan berwarna coklat.


Akibatnya, saya jarang bersama suami kerana bimbang akan memudaratkan dia. Namun, suami mengadu alat sulitnya sakit apabila disentuh dan mengeluarkan cecair seakan-akan keputihan.


Apabila suami diperiksa, doktor memberikan ubat merawat keputihan kepada saya kerana dikatakan berpunca daripada masalah saya yang berjangkit dan memberikan suntikan kepada suami.


Untuk pengetahuan doktor, saya mengalami masalah keputihan sejak belum berkahwin dan tidak pernah surut. Malah, kini ia bertukar menjadi berlendir pekat dan berwarna hijau, tetapi tidak berbau serta tidak gatal. Saya bimbang untuk menjalani pemeriksaan kerana takut ia gejala barah. Harap doktor dapat memberi nasihat untuk saya lebih yakin dan bersemangat.


Jawapan:

USAH bertangguh, segeralah menjalani pemeriksaan doktor pakar sakit puan berhampiran. Pendarahan selepas hubungan seks perlu dipastikan tidak berpunca daripada penyakit yang menyebabkan luka pada pintu rahim (serviks), sama ada jangkitan kuman ataupun lebih serius lagi, penyakit barah.


Pada usia anda, kemungkinan mengalami barah serviks adalah rendah memandangkan evolusi barah ini mengambil masa bertahun (dilaporkan 10 hingga 15 tahun) daripada perubahan pertama penyakit sebelum barahnya, ia juga berkait dengan tempoh seseorang mula melakukan hubungan seks. Bagaimanapun, ini tidak semestinya diandaikan benar pada setiap masa. Wanita yang pernah melakukan hubungan seks dinasihatkan menjalani ujian smear serviks (lebih dikenali sebagai ujian pap smear) untuk mengesan perubahan awal pada serviks iaitu sebelum kemunculan barah lagi. Bagi diri anda, doktor akan melakukan pemeriksaan dalaman menggunakan alat spekulum terlebih dulu untuk melihat keadaan faraj dan serviks serta punca pendarahan terbabit.


Prosedur lanjutan (sama ada smear serviks ataupun biopsi serviks) akan ditentukan berdasarkan pengamatan itu.


Jarang pendarahan dalaman seperti pendarahan dari serviks mengakibatkan kesakitan. Anda tidak boleh membuat andaian bahawa ia tidak perlu dibimbangkan.


Selain itu, anda juga mungkin mengalami jangkitan kuman Trichomonas berdasarkan warna kehijauan pada lelehan faraj itu. Ujian kultur lelehan yang lazim (C&S) tidak dapat mengesan kuman ini. Ia boleh mengakibatkan keluar lelehan dari zakar dan rasa pedih selepas membuang air kencing atau selepas ejakulasi. Pada wanita pula, ia boleh menyebabkan lelehan berwarna kekuningan dan kehijauan serta berbuih dan berbau hanyir, kegatalan, pedih sewaktu hubungan seks dan sakit pada bahagian ari-ari. Namun, tidak semestinya seseorang yang dijangkiti akan mengalami semua petanda di atas, malah ada yang tidak mengalami apa-apa simptom.


Jika benar, kebiasaannya pasangan seksual (suami anda dan isteri pertamanya) juga dinasihatkan mengambil rawatan pada masa yang sama bagi mengelakkan jangkitan semula. Selain itu, jika benar, anda dan suami serta isteri pertamanya dinasihatkan menjalani beberapa ujian lain yang berkaitan penyakit jangkitan seksual memandangkan Trichomoniasis adalah suatu penyakit jangkitan seksual.

Sumber Rujukan:
Dr Adilah Ahmat (Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan)

Pasangan Pengantin Baru Takut Bersenggama

Soalan:

SAYA berkahwin selama hampir enam bulan, namun saya takut untuk melakukan hubungan seks dengan suami.

Suami juga tidak memaksa saya untuk melakukan hubu­ngan kelamin, tetapi saya selalu berasa bersalah. Untuk pengetahuan puan, kami pernah cuba untuk melakukan hubungan seks namun apabila waktu tusukan, saya menolak suami saya.

Saya tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk mengelakkan rasa takut itu. Saya sentiasa rasa bersalah apabila tidak dapat melayan kehendak nafsu suami. Apa­kah yang harus saya lakukan?

Jawapan:


KADANGKALA saya menerima persoalan dari pasangan dengan masalah sedemikian, malah ada beberapa pasangan yang sudah berkahwin selama lebih lima tahun.


Anda dinasihati berjumpa pakar sakit puan untuk mendapatkan kaunseling awal. Pemeriksaan fizikal ke atas alat kelamin luaran sehingga ke selaput dara juga boleh dilakukan.

Lazimnya pemeriksaan dan penerangan menggunakan gambar rajah dapat membantu wanita memahami struktur anggota kelamin mereka dengan lebih mendalam dan berasa lebih yakin serta ‘berani’ melakukan hubungan seks.

Lazimnya wanita ini didapati tiada masalah fizikal, ia berpunca daripada kebimba­ngan atau ketakutan setelah mendengar cerita rakan atau saudara serta kepercayaan bahawa selaput dara mereka terlalu tebal dan seumpamanya.

Kebanyakan pasangan tidak memerlukan apa-apa ubatan selain gel pelincir, itupun untuk permulaan saja.

Sumber Rujukan:
Dr Adilah Ahmat (Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan)

Sering Buasir Ketika Haid

Soalan:

SAYA berusia 28 tahun dan mempunyai sedikit masalah mengenai buasir. Saya menganggap ia boleh diubati dengan membeli ubat di farmasi saja, jadi saya tidak pernah melakukan pemeriksaan di klinik ataupun hospital mengenai masalah yang saya alami itu.

Tetapi, saya rasa buasir itu tidak mengecil dan terus hilang, ditambah lagi apabila datang haid, buasir itu sering keluar dan saya terpaksa memasukkannya semula.

Buasir yang keluar biasanya sebesar kacang hijau, tetapi adakah saya perlu menjalani pembedahan untuk membuang buasir berkenaan? Adakah sebarang cara lain selain pembedahan?

Saya kini sangat risau kerana pada November nanti, saya akan mendirikan rumah tangga. Saya bimbang ia menjadi semakin teruk apabila sudah hamil dan mempunyai anak kelak.

Jawapan:

BUASIR adalah bengkak yang mengandungi salur darah vena yang mengembang di bawah kulitnya.

Ia disebabkan tekanan berlebihan dan berpanjangan seperti meneran (akibat sering sembelit), batuk kronik, tabiat sering mengangkat berat, ketumbuhan di dalam abdomen dan seumpamanya.

Rawatan buasir yang paling penting adalah untuk menjaga supaya faktor tekanan di atas dielakkan atau diubati. Jika tidak, selepas rawatan membuang daging lebih terbabit, buasir boleh berulang.

Pemakanan berserat tinggi dan meminum air mencukupi amat penting. Rawatan selain pembedahan adalah prosedur kecil yang dilakukan di klinik menggunakan cincin getah yang ketat untuk memutuskan bekalan darah ke atas daging lebih itu, menyebabkan ia gugur setelah beberapa hari.

Pemeriksaan doktor terlebih dulu penting untuk menilai buasir secara keseluruhannya. Terdapat dua jenis buasir iaitu buasir luaran (buasir eksterna) dan buasir dalaman (buasir interna).

Sumber Rujukan:
Dr Adilah Ahmat (Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan)

Darah Tinggi Sementara

Soalan:

ADAKAH kehamilan boleh mengakibatkan tekanan darah tinggi kepada ibu dan apakah kesannya kepada anak dalam kandungan?

Adakah tekanan darah tinggi terbabit boleh menyebabkan sawan dan koma? Saya juga ingin tahu punca yang boleh menyebabkan lumpuh selepas koma. Untuk pengetahuan doktor, saya mempunyai kakak bersalin anak pertama yang lumpuh sebaik saja sedar daripada koma selama empat bulan.

Lebih malang, dia koma selepas terjatuh dari katil ketika dalam rawatan di hospital. Adakah sebarang cara perubatan yang boleh menyembuhkan kembali kakak saya itu?

Jawapan:


TEKANAN darah tinggi lebih singkat dikenali sebagai hipertensi. Hipertensi boleh berkait dengan kehamilan saja iaitu ia muncul selepas kehamilan berusia 20 minggu (sekitar lima bulan) ke atas dan dijangka pulih sepenuh­nya dalam masa enam minggu selepas bersalin.


Hipertensi kehamilan ini dinamakan hipertensi gestasional. Ia lebih lazim berlaku dalam kehamilan pertama (termasuk kehamilan pertama dengan suami baru).
Terdapat beberapa kategori hipertensi gestasional, bergantung kepada keterukannya. Dengan kehadiran atau kebocoran protein dalam kuantiti tertentu dalam air kencing, hipertensi ini memasuki peringkat praeklampsia.

Dalam semua peringkat terutama kes praeklampsia ini, langkah lebih proaktif lazimnya diambil bagi mengawal keadaan seperti kesan terhadap ibu dan janin, serta mengelakkan ibu hamil ini mengalami keadaan yang lebih serius seperti uri lekang, paru-paru berair, eklampsia (sawan hipertensi), koma malah kematian.

Tiada rawatan ubatan berkesan atau khusus untuk hipertensi gestasional melainkan dengan kelahiran. Ini kerana penyakit ini berpunca daripada masalah uri (plasenta).

Hanya setelah uri dikeluarkan (iaitu setelah kelahiran), barulah penyakit hipertensi gestasional dijangka akan pulih. Rawatan ubat-ubatan hanya bersifat sementara untuk membolehkan janin mencapai usia dan saiz tertentu sebelum dilahirkan.

Sementara itu, ibu hamil ini perlu faham mengenai kepentingan menjalani susulan antenatal bersama doktornya yang mungkin lebih kerap, ujian tertentu (ultrabunyi termasuk Doppler dan ujian darah), ubatan dan keperluan sampingan seperti satu siri pemeriksaan tekanan darah dan air kencing berulang di klinik berhampiran.

Simptom bahaya berkaitan juga perlu dikenal pasti agar ibu hamil ini datang mendapatkan pemeriksaan segera walaupun baru saja datang ke klinik sehari sebelumnya.

Simptom terbabit termasuk pening kepala, sakit ulu hati, pandangan berpinar, kencing menjadi berkura­ngan dan seumpamanya. Tidak mustahil sekiranya keadaan menjadi semakin teruk, kelahiran terpaksa didahulukan tanpa mengira keadaan janin yang masih kecil.

Sewaktu sawan (eklampsia) ini berlaku, kekejangan otot yang kuat (termasuk otot pernafasan) menyebabkan bekalan oksigen di dalam badan (termasuk ke otak) terhenti. Apabila sawan berakhir, wanita ini akan mengalami koma untuk seketika dan apabila sedar semula, tidak dapat mengingati apa yang sudah berlaku.


Sawan dan koma boleh berlaku apabila salur darah di dalam kepalanya mengembang dan pecah mengakibatkan pendarahan otak ataupun apabila otak mengalami pembengkakan (edema).

Kadangkala koma boleh berlaku akibat perkara lain seperti pendarahan berlebihan sewaktu bersalin. Sekiranya keadaan ini mengakibatkan bekalan oksigen kepada organ terbabit terhenti untuk waktu yang lama, kesan jangka panjang boleh berlaku seperti kehilangan fungsi atau lumpuh.

Kakak anda sedar daripada koma adalah suatu petanda pemulihan. Diharapkan (walaupun setipis mana peluangnya) lama-kelamaan, fungsi organnya yang lain juga beransur pulih.

Ini mungkin akan mengambil masa yang panjang (tidak dapat ditentukan sama ada berminggu, berbulan atau bertahun). Buat masa ini, kakak anda memerlukan perhatian dan penjagaan berikut:



Penjagaan pernafasan bergantung kepada keadaannya kini (seperti yang dinasihati doktor).


Fisioterapi otot seperti tangan dan kaki untuk memastikan tidak berlaku kejang atropi otot, eloklah kerap dilakukan dan tidak mengharapkan kakitangan yang menyediakan khidmat kejururawatan yang ada untuk beberapa jam saja.


Kebersihan diri termasuk penjagaan pembersihan pembuangan air kencing dan air besar serta sewaktu kedatangan haid.


Mengubah-ubahkan posisi bagi mengelakkan ulser akibat tekanan tubuh.


Sekiranya dia sudah mula bersuara, perlunya terapi percakapan.


Pemberian makanan berkalori mencukupi dan suplemen vitamin termasuk yang merangsang fungsi saraf.

Sumber Rujukan:
Dr Adilah Ahmat (Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan)

Berat badan Boleh Mengganggu Kitaran Haid Seorang Wanita

Soalan:

SAYA berumur 24 tahun dan berat 46 kilogram (kg), tetapi risau sudah hampir tiga bulan tidak didatangi haid.

Saya belum berkahwin dan tidak hamil, tetapi perut mengembung seperti masuk angin. Ada kalanya ia sakit. Apakah masalah saya ini? Adakah saya perlu mengambil ubat untuk membolehkan saya didatangi haid?

Jawapan:

BERAT badan 46kg sesuai bagi wanita yang mempunyai ketinggian 136 sentimeter (sm) sehingga 155sm saja iaitu sekitar empat kaki lima inci hingga lima kaki satu inci saja.

Berlebihan berat badan dan sebaliknya penyusutan berat badan mendadak boleh ­mengganggu ovulasi ­(pengeluaran telur) yang kemudiannya mengganggu kitaran haid. Tanda kembung perut (yang boleh menyebabkan sakit ), pening kepala dan mual adalah sebahagian tanda berkait dengan perubahan hormon kewanitaan, ia lebih dikenali sebagai sindrom sebelum kedatangan haid atau PMS.


Bagaimanapun, ia juga mungkin tiada kaitan. Eloklah anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan fizikal dan ujian mudah. Ada kalanya, melalui pertanyaan, simptom berkaitan dan pengamatan ciri fizikal tertentu, diagnosis awal dapat diketahui sementara menunggu hasil keputusan ujian pengesahan.

Pada masa sama, doktor lazimnya akan memberikan ubat mengandungi hormon progestin. Hormon ini menyerupai hormon progesteron tubuh yang penting dalam fasa pematangan lapisan haid.

Ini kerana dalam keadaan ketiadaan ovulasi, hormon progesteron tidak dapat dihasilkan memandangkan korpus luteum tidak terbentuk.

Tambahan pula, ketiadaan haid (pelupusan lapisan haid atau endometrium) mendedahkan endometrium seseorang terhadap rangsangan hormon estrogen secara berterusan dan berlebihan sehingga boleh mengundang penyakit hyperplasia endometrium atau lebih serius lagi, kanser endometrium.

Sumber Rujukan:
Dr Adilah Ahmat (Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan).

Lelehan Cecair Pada Payu Dara Yang Menyerupai Nanah

Soalan:

SAYA berusia 20 tahun dan ingin tahu mengenai tanda barah payudara.
Saya mengalami kesakitan di bahagian payudara dan puting payudara pula mengeluarkan cecair seperti nanah dan ­berlaku pendarahan. Ini menyebabkan saya terasa begitu sakit.

Masalah berkenaan sudah berlarutan selama dua tahun dan dalam tempoh terbabit, ia tidak menunjukkan perubahan untuk sembuh.

Kulit di sekitar payudara juga menjadi kuping. Pelbagai jenis ubat-ubatan sudah saya cuba termasuk kaedah tradisional. Saya ada berjumpa doktor sebelum ini, tetapi mereka tidak memberitahu jenis penyakit yang saya alami.

Jawapan:


ANDA mungkin hanya ­mengalami jangkitan ­kuman sehingga menyebabkan peradangan pada payudara.


Bagaimanapun, penting untuk anda segera ­menjalani pemeriksaan dan ujian pengesahan kerana petanda ini juga adalah sebahagian petanda kanser payudara.

Eloklah ia dipastikan atau dikecualikan terlebih dulu. Tambahan pula, jangkitan kuman lazimnya berlaku untuk tempoh yang singkat, bukannya dua tahun.

Segeralah berjumpa pakar pembedahan am sebelum ia menjadi lebih teruk lagi.

Anda mempunyai hak ­sebagai pesakit untuk diberitahu mengenai jenis penyakit yang dialami, sama ada diberitahu secara terus atau anda sendiri bertanyakan dengan pasti.

Sumber Rujukan:
Dr Adilah Ahmat (Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan).

Terpaksa Menggunakan Pelapik Tuala Wanita

Soalan:

SAYA ada masalah mengenai kemaluan yang mengeluarkan cecair berwarna putih dan sedikit coklat. Saya tidak mengetahui puncanya.

Saya terpaksa memakai pelapik tuala wanita kerana kandungan cecair itu banyak, tetapi saya tidak menghadapi sebarang kegatalan.

Perkara ini berterusan dan saya sangat tidak selesa kerana sebelum ini ia tidak pernah berlaku.

Untuk pengetahuan doktor, setiap kali saya mengangkat benda berat di tempat kerja cecair itu keluar seperti saya didatangi haid.

Saya juga tidak suka memakai seluar dalam dan lebih suka memakai seluar longgar, boxer.

Cairan itu juga berbau busuk, apa yang perlu saya lakukan? Saya juga melakukan ibadat puasa dan solat seperti biasa. Adakah sah solat dan puasa saya?


Jawapan:

MUNGKIN anda mengalami jangkitan kuman, mungkin juga ia lendir daripada ketulan seperti polip yang keluar melalui serviks (pintu rahim).

Jika anda sudah menjalani hubungan seksual, doktor ­dapat melakukan pemeriksaan dalaman ­menggunakan alat spekulum yang dimasukkan ke dalam faraj untuk melihat sendiri keadaan permukaan dinding faraj dan pintu rahim.

Ciri cecair terbabit juga dapat dinilai, lazimnya jenis jangkitan atau penyakit dapat diketahui. Pada masa sama, sedikit sampel dapat diambil dan dihantar untuk kultur, ia mengambil masa beberapa hari untuk mengetahui jenis kuman, bilangan kuman, jenis ubat yang sesuai dan jenis ubat yang tidak sesuai.

Sekiranya anda masih dara, doktor masih boleh mengambil sedikit ­sampel menggunakan alat ­seperti putik kapas yang ­dimasukkan menerusi lubang pada tengah selaput dara sedalam kurang ­daripada satu sentimeter iaitu ­bahagian bawah faraj saja.

Persoalan sah ibadat lebih elok diajukan kepada yang lebih berilmu dalam bidang keagamaan. Mungkin pendapat saya betul iaitu boleh meneruskan ibadah.

Sumber Rujukan:
Dr Adilah Ahmat (Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan).

Tertinggal Kondom

Soalan:
SAYA mengadakan hubungan intim dengan isteri menggunakan kondom. Selepas bersama didapati kondom itu tiada dan saya rasa ia berada di dalam faraj isteri.

Apakah tindakan yang boleh dilakukan dan apakah kesan kepada isteri jika kondom terbabit masih di dalam farajnya?

Jawapan:

KONDOM mudah ditarik ­keluar menggunakan jari yang dimasukkan ke dalam faraj. Setelah itu, kondom hendaklah diperiksa sama ada masih utuh atau sudah koyak.

Sekiranya ia sudah koyak, ada kemungkinan sebahagian lagi cebisan kondom terbabit masih tertinggal di dalam faraj.


Anda mungkin memerlukan pemeriksaan atau kepastian doktor melalui pemeriksaan khas menggunakan alat spekulum untuk melihat keseluruhan faraj dan ruangnya.

Sekiranya ia berada buat masa yang lama, kehadiran kondom yang juga sejenis benda asing ini boleh menyebabkan jangkitan kuman sehingga mendatangkan masalah lelehan, bau dan seumpamanya.

Sementara itu, usah bimbang, agak mustahil untuk kondom memasuki ke dalam rahim kerana pintu rahim sangat kecil.

Bagaimanapun, kegagalan fungsi kondom (melindungi zakar anda dari awal penetrasi sehingga anda mengeluarkannya dari faraj) menyebabkan isteri anda terdedah kepada kemungkinan kehamilan.

Kondom terbabit mungkin tertanggal kerana zakar anda sudah kembali mengendur selepas ejakulasi (anda sepatutnya terus menarik zakar keluar sejurus selepas ejakulasi) atau kondom terbabit longgar.

Sumber Rujukan:
Dr Adilah Ahmat (Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan)